ASSALAMUALAIKUM..
Daripada Abdul Rahman Bin Humaid, daripada bapanya: Sesungguhnya Said
Bin Zaid pernah menceritakan kepadanya mengenai satu kumpulan, dengan
katanya, 'Pernah Rasulullah SAW bersabda, "10 orang yang akan
memasuki syurga iaitu Abu Bakar, 'Umar, Uthman, 'Ali, Zubair, Talhah, Abdul Rahman, Abu ‘Ubaidah, Sa’ad Bin Abu Waqqas..."
Maka beberapa orang yang mengira-ngira jumlah
semua yang dijanjikan dengan syurga itu, di manakah lagi seorang?
Lalu mereka bertanya kepada Said Bin Zaid, "Demi Allah Wahai Abu A’awar!
Siapakah dia orang yang kesepuluh itu?"
Maka Said Bin Zaid pun
menjawabnya, "Bukahkah kamu sendiri telah bersumpah bahawa Abu A’awar
itu pun adalah di kalangan mereka yang dijanjikan syurga?"
Imam Abu
‘Isa (At-Tirmidzi) menyatakan, "Abu A’awar itu sendiri adalah Said bin Zaid bin ‘Amru."
Jom. Kita selusuri sedikit kisah insan istimewa yang Allah janjikan syurga indah buat mereka.
Allahuakbar.
Allahuakbar.
Abu Bakar as-Siddiq r.a.
Siapa
yang tidak kenal dengan sahabat agung yang seorang ini bukan? Selain
terkenal sebagai sahabat karib Nabi dan antara orang terawal yang
memeluk Islam, Abu Bakar juga terkenal dengan keteguhan imannya apabila
membenarkan peristiwa Isra' wal Mikraj tanpa ragu-ragu, lantas beliau digelar dengan gelaran as-Siddiq,yang membawa maksud membenarkan.
Abu Bakar merupakan sahabat hijrah Nabi, yang mana beliau diminta sendiri oleh Nabi untuk menemaninya berhijrah. Abu
Bakar juga merupakan seorang dermawan terbilang, yang pernah menginfaqkan
seluruh hartanya untuk kegunaan umat Islam di Perang Tabuk.
Abu
Bakar juga adalah bapa mertua Nabi, apabila mengahwinkan anak gadisnya,
Ummul Mu'minin 'Aisyah r.a. dengan Nabi. Abu Bakar adalah khalifah
pertama dalam sejarah Islam selepas kewafatan baginda Nabi SAW.
'Umar al-Khattab r.a.
Seorang lagi sahabat yang Allah janjikan syurga buatnya ialah Umar al-Khatab.
Kisah
pengIslaman 'Umar sering diulang-tayang untuk menggambarkan bagaimana
seorang manusia yang bengis dan berjiwa keras juga akhirnya tewas dengan
tamparan Hidayah. 'Umar yang sebelum Islamnya terkenal
sebagai seorang yang amat tegar menentang Islam, menjadi pejuang dan
pembela Islam yang paling berani selepas keimanannya.
Betapa 'Umar mempunyai firasat seorang mu'min yang sangat
tajam, sehinggakan kata-katanya sering dibenarkan Allah melalui
firmanNya yang mulia. 'Umar juga sering berlumba-lumba dengan Abu Bakar
dalam mengejar keredhaan Allah dan merebut cinta Rasulullah, sehingga
menjadikan dirinya tidak pernah puas dengan amalan dirinya.
'Umar
merupakan khalifah kedua khulafa' ar-rasyidin menggantikan Abu Bakar.
Zaman 'Umar merupakan zaman kegemilangan Islam apabila banyak kejayaan
dan pencapaian yang diperoleh umat Islam ketika itu. Satu fakta yang
tidak diketahui ramai, 'Umar juga merupakan bapa mertua Nabi, apabila
anaknya, Hafsah diperisterikan baginda SAW.
Uthman ibn Affan r.a.
Siapa yang tidak berasa segan untuk menceritakan kehebatan sahabat
yang seorang ini, yang mana para malaikat pun malu dengannya? Juga
seorang sahabat yang sering disalahertikan dan difitnah dengan tuduhan
yang bukan-bukan.
Beliau
adalah satu-satunya sahabat yang menjadi menantu Nabi dua kali, apabila
memperisterikan Ruqayyah dan Ummi Kalthum, lantas diberi gelaran Zun
an-Nur'ain, yakni yang memiliki dua cahaya. Uthman adalah seorang
dermawan yang tiada tolok bandingnya, sehinggakan infaqnya untuk Perang
Tabuk diiktiraf Nabi sehingga baginda bersabda,
"Tidak
ada bagi Uthman sesuatu yang akan menimpanya setelah ini, tidak ada
bagi Uthman sesuatu yang akan menimpanya setelah ini."
[Hadith
riwayat at-Tirmidzi. Juga diriwayatkan oleh al-Hakim dengan sebutan,
"Tidaklah akan membahayakan Uthman apapon yang dilakukannya selepas hari
ini.]
Uthman
merupakan khalifah ketiga, menggantikan 'Umar al-Khattab. Di zaman
pemerintahannya, beliau bertanggungjawab mengumpulkan mushaf al-Quran
yang ada dan menyusunnya agar mudah menjadi rujukan umat Islam yang
semakin ramai dan berkembang ketika itu. ALLAHUAKBAR.
'Ali bin Abi Talib r.a.
Sepupu
Nabi SAW Ali bin Abi Talib, yang merupakan kanak-kanak pertama memeluk Islam dan antara
manusia terawal yang memeluk Islam. Beliau mengambil risiko dibunuh oleh
kaum kafir Quraisy apabila menggantikan Nabi di tempat tidurnya pada
hari baginda berhijrah ke Madinah.
'Ali
merupakan menantu Nabi SAW apabila mengahwini puteri kesayangan
baginda, Fatimah r.a.. 'Ali merupakan khalifah yang keempat selepas
Uthman. Malangnya semasa zaman pemerintahan beliau, keadaan umat Islam
ketika itu kucar-kacir dek terlalu banyak fitnah dan ujian yang berlaku,
sehinggakan meninggalkan noktah-noktah hitam di masa kekhalifahannya.
Keutamaan
'Ali disebut dalam banyak hadith-hadith sahih, antaranya bagaimana Nabi
SAW menyifatkan 'Ali sebagai Harun kepada Musa. Namun, berhati-hati
dalam mengambil dan mempercayai hadith berkaitan 'Ali, kerana dikhuatiri
ia adalah hadith palsu yang direka-reka oleh puak Syiah yang ghuluw
(berlebih-lebihan) dalam mengagungkan beliau.
Zubair bin al-Awwam r.a.
Beliau
adalah antara as-Sabiqun al-Awwalun, yakni mereka yang mula-mula sekali
memeluk Islam; ketika beliau berumur 15 tahun lagi. Agaknya ketika umur 15 tahun, apalah yang kita buat ya?
Zubair
sangat terkenal dengan kepahlawanannya. Di dalam perang Badar, beliau
telah berhasil menombak mata Ubaidah bin Said sehingga jatuh tersungkur
dan mati, dan peristiwa ini menyebabkan pihak musuh terketar lutut
ketakutan.
Zubair amat dicintai oleh Rasulullah SAW. Baginda pernah bersabda,
"Setiap Nabi ada hawari (pengikut setia) dan hawari bagiku adalah Zubair al-Awwam."
Kehebatan Zubair semakin terbukti apabila 'Umar al-Khattab r.a. menghantar
bantuan tentera kepada 'Amr al-Ash r.a. seramai 4 orang dengan
menyifatkan setiap orang mewakili seribu orang parajurit yang gagah
berani. Zubair adalah salah seorang daripadanya.
Talhah bin 'Ubaidillah r.a.
Talhah
adalah sahabat Zubair. Talhah digelar sebagai 'Syuhada'
yang berjalan di muka bumi' oleh Rasulullah SAW kerana keberaniannya dalam
perang Uhud dan pengorbanannya melindungi baginda dalam perang yang
sama.
Dalam
perang Uhud, beliau telah terkena lebih daripda 70 tikaman pedang atau
panahan anak panah dan masih mampu bertahan. Ketika tersebar berita bahawa Rasulullah telah wafat, Talhah
yang sedang memapah baginda ketika itu berkata, "Aku tebus dikau wahai Rasulullah dengan ayah dan ibuku," menggambarkan kecintaan yang besar beliau terhadap baginda rasul.
Abdul Rahman bin 'Auf r.a.
Abdul Rahman bin 'Auf adalah manusia kaya di zamannya. Namun
kekayaan tidak pernah menggelapkan hati sahabat yang satu ini. Ketika
turun perintah hijrah kepada para sahabat di Mekah, beliau meninggalkan seluruh harta benda yang telah dikumpulkannya
semata-mata mahu menyahut seruan Ilahi. Dan di Madinah, beliau telah
membuktikan kepakarannya berniaga yang tiada tolok bandingnya, apabila
dalam masa yang sangat singkat beliau berjaya mengumpulkan kekayaan
kembali.
Di
dalam perang Tabuk, beliau pernah mengimami solat kepada ar-Rasul dan
para sahabat, satu kemuliaan yang belum dipernah dikecapi oleh mana-mana
sahabat yang lain.
Abdul
Rahman adalah salah seorang sahabat yang ditunjuki 'Umar untuk
menggantikan beliau sebagai khalifah. Namun akhirnya beliau menawarkan
diri untuk memegang amanah, bertanggungjawab menjadi 'Suruhanjaya
Pilihan Raya' yang memilih khalifah antara 'Uthman dan 'Ali.
Abu 'Ubaidah al-Jarrah r.a.
Sahabat
yang mendapat gelaran 'Kepercayaan ummah' oleh Rasulullah SAW ini
adalah seorang sahabat besar, yang membuktikan kesetiaannya kepada Islam
melebihi segalanya apabila membunuh ayahnya sendiri di dalam perang
Badar, sehingga Allah merakamkannya dalam surah al-Mujadilah, ayat 22.
Beliau
adalah seorang pahlawan dan perwira yang gagah berani, diberi
kepercayaan oleh 'Umar al-Khattab ketika menjadi khalifah untuk memimpin
tentera Islam bagi menggantikan Khalid al-Walid r.a..
Sa'ad bin Abi Waqqas r.a.
Di
awal keIslamannya, Sa'ad diuji dengan begitu getir sekali; memilih sama
ada mahu kekal dengan aqidah baharu yang menyejukkan imannya atau
menuruti kehendak sang ibu tercinta yang mahukan dirinya kembali kepada
agama nenek moyang mereka. Sang ibu sehingga mengugut Sa'ad untuk
membunuh dirinya (dengan cara mogok lapar) andai Sa'ad tidak mahu akur
dengan permintaannya.
Sa'ad
juga merupakan orang yang pertama sekali melepaskan anak panah
untuk Islam. Kehebatannya dalam memanah diakui oleh Nabi SAW sendiri,
apabila dalam perang Uhud, baginda bersabda:
"Panahlah wahai Sa'ad! Ayah dan ibuku menjadi tebusan untukmu!"
Doa
Sa'ad juga sangat makbul kerana pernah didoakan Nabi untuk memiliki
keistimewaan sebegitu rupa.
Sa'id bin Zaid r.a.
Inilah dia sahabat yang terbabit sama dalam pengIslaman
'Umar. Beliau adalah suami kepada adik 'Umar, Fatimah, dan ketika
peristiwA 'Umar menampar adiknya itu, Sa'id ada bersama. Malah
dikatakan, berkat kesabaran Sa'id dalam menanggapi 'Umar adalah antara
punca mengapa 'Umar akhirnya terbuka untuk memilih Islam.
Sa'id
tidak pernah tinggal satu peperangan pon bersama Rasulullah, kecuali
Badar. Itu pun kerana beliau telah dihantar untuk menjadi perisik
kekuatan musuh ketika itu. Beliau juga terlibat dalam peperangan
membebaskan Persia dari api Majusi dan juga Syam dari cengkaman
kekufuran Nasrani.
***********************************************************************************************************************************
***********************************************************************************************************************************
Jadi.. Apalah yang kita dapat teladani dari kisah kisah para sahabat ini. jalan untuk ke syurga itu bukan satu, bukan
dua, bukan juga tiga, tapi banyak!
Daripada
Abu Bakar kita belajar, jalan ke syurga itu terletak pada keimanan yang
tinggi, membenarkan apa sahaja yang diungkapkan oleh Allah dan RasulNya.
Seorang sahabat sejati bukan hanya sampai mati, tapi syurga yang
tertinggi!
Daripada
'Umar kita belajar, jalan ke syurga itu terbentang pada erti sebuah
hijrah yang sebenar; perpindahan daripada jahiliah menuju hidayah.
Daripada
Uthman kita belajar, jalan ke syurga itu diselusuri dengan sikap
merendah diri dan malu.
Daripada
'Ali kita belajar, jalan ke syurga itu dapat dititi dengan kecintaan
dan pengorbanan yang besar. Juga mengrbankan kepentingan
dan kehendak diri sendiri!
Daripada Zubair kita belajar, jalan ke syurga itu pasti buat mereka yang setia pada sunnah yang ditinggalkan baginda.
Daripada
Talhah kita belajar, jalan ke syurgaa itu akan terbuka buat mereka yang
sanggup berkorban nyawa semata-mata untuk menegakkan Islam.
Daripada
Abdul Rahman kita belajar, jalan ke syurgaa itu bersinar cerah untuk
mereka yang tidak terjerat dengan tipu-daya dunia.
Daripada
Abu Ubaidah kita belajar, jalan ke syurga itu tidak mahal harganya buat
mereka yang mendedikasikan seluruh hayatnya untuk agama.
Daripada
Sa'ad kita belajar, jalan ke syurga itu terbina lurus buat mereka yang
menjadikan kecinntaan kepada Allah dan RasulNyaadalah yang utama
Dan daripada Sa'id kita belajar, jalan ke syurga itu benar-benar milik mereka yang sabar.
Walaupun para sahabat ini tahu bahawa mereka telah dijanjikan syurga oleh Allah swt, namun sehingga ke akhir
hayat mereka, mereka tidak pernah lelah berjihad dan menyampaikan
risalah, beramal dan memohon keampunan, sehinggalah maut datang
menjemput.
Para sahabat yang dijanjikan oleh Allah swt bukanlah hanya 10 orang di atas sahaja. Nama-nama mereka yang 10 ini disebut Nabi SAW dalam sebuah hadith
secara sekaligus. Kerana itu mereka digelar 'sepuluh sahabat yang
dijanjikaN SYURGA.' Namun selain daripada mereka, terdapat ramai
lagi para sahabat yang dijanjikan masuk ke syurga abadi.
Sumayyah
r.a., Mus'ab r.a., Bilal r.a., Hamzah r.a., Abdullah bin Jahsy r.a. dan
ramai lagi para sahabat yang lainnya yang pernah dijanjikan
syurga oleh Allah swt.
Abu Bakr. 'Umar. Uthman. 'Ali. Zubair. Talhah. Abdul Rahman. Abu 'Ubaidah. Sa'ad. Sa'id.
Ingat
nama-nama itu. Kerana mereka mengajar kita, nak kejar redha Allah itu
boleh sahaja dengan mengayuh basikal, berjalan kaki atau menaiki
kereta. Dan mereka mengajar kita, betapa nak masuk syurga itu boleh
sahaja dengan apa-apa cara, asalkan asasnya TAQWA!
SEKIAN.
yang baik itu sesungguhnya dari ALLAH SWT.
segala kesilapan harap sudi perbetul. :)
kredit pada empunya kisah.
yang baik itu sesungguhnya dari ALLAH SWT.
segala kesilapan harap sudi perbetul. :)
kredit pada empunya kisah.
mohon share
BalasPadam