Kerana Cinta Klon BAB 4 - Fatihah Fazlin

Khamis, 1 Mei 2014

Kerana Cinta Klon BAB 4






BAB 4

Sudah lima jam Hazriq di hospital menemani Fazlia  yang terbaring kaku  di katil hospital. Cikgu Zailan dan Syakila Marini sudah lama pulang. Badan Fazlia kelihatan lemah. Menurut doktor dia mengalami demam panas. Suhu badannya menigkat mendadak. Hazriq sejak tadi setia menemani dan dia langsung tidak berganjak dari kerusi di sebelah Fazlia sejak balik dari masjid berhampiran hospital. Dia diberitahu oleh jururawat bahawa Fazlia sudah sedar waktu ketiadaannya dan jururawat tersebut juga telah sekali lagi menelefon kedua orang tuanya untuk memaklumkan keadaan terbaru Fazlia. Malangnya mereka tidak dapat datang dengan segera yang mungkin kerana berada di Kerteh, Terengganu. Hazriq hanya duduk dan termenung di kerusi. Dia tidak mahu pulang ke rumah juga tidak mahu kemana-mana. Dia mahu selalu dekat dengan Fazlia.
Hazriq sedar semua yang berlaku adalah salahnya. Hanya kerana terlalu mementingkan diri sendiri, insan lain terpaksa menanggung derita. Malam kian menjelma cuba menutup tirai senja. Hujan turun agak lebat diluar sana. Hazriq masih menanti Fazlia untuk berbicara dengannya. Walaupun hanya sepatah, dia tetap mahu bibir gadis itu bergerak bertanya atau mengucapkan sesuatu. Wad yang memuatkan empat pesakit dalam satu masa lengang dan sunyi. Tiada kehadiran insan lain melainkan mereka berdua. Fazlia mahupun Hazriq sendiri membisu seribu bahasa.
Tidak tahan keadaaan begitu berlanjutan lebih lama, Fazlia membuka mulut meminta segelas air bagi manghilangkan dahaga di tekak. Seketika kemudian terdengar dua suara berlainan memberi salam.Fazlia menguntum senyuman pahit buat mereka. Hazriq bangun, lekas dia menghulur salam perkenalan.
“Kenapa lambat umi? Along boring duduk seorang kat sini.”Manja Fazlia mengadu.
‘Amboi..bosan pulak, yang aku duduk kat sini tak dilayan pun! Macam-macam.’
Sorry sayang, umi kat rumah Nenek Yam, dia tengah nazak masa umi balik sini tadi. Untie Yati called semalam..Anak umi macam mana boleh masuk wad lagi ni?”
“Umm..tak tahulah umi. Sakit sikit pun kena tahan di wad. Mana Ayie dan Adik?”
Hazriq terus memerhati dua beranak itu berbual. Datang dua orang budak menyertai mereka.
“Along, siapa tu?” Irfan, adik bongsu Fazlia perasan ada orang ketiga antara mereka sekeluarga.
“Yelah, Along tak kenalkan pun.” Encik Harun pula mula bersuara setelah tadi menjadi pemerhati. Dia juga apa gerangan anak muda ini menemani anak perempuannya. Fazlia melihat sekilas wajah Cikgu Hazriq.
“Oh! Lupa, cikgu BM Along, Cikgu Hazriq. Dia buat praktikal kat sekolah.”jelas Fazlia pendek.
Hazriq sedar kehadirannya tidak disenangi Fazlia. Jika tidak,dia tidak akan disindir. Walauapapun, Hazriq yakin dia perlukan lebih masa dan usaha untuk menyedarkan Fazlia tentang dirinya yang sama sekali bukan seperti apa yang disangkakan oleh gadis itu.
“Jadi inilah Cikgu yang Along cerita pada abah hari tu. Muda lagi! Dah lama sampai cikgu?” Encik Harun beramah mesra.
“Tak lama sangat bang..Baru je.”Sopan Hazriq berbicara.
Fazlia pula begitu meluat dengan sandiwara Cikgu Hazriq, jika tidak mengenangkan lelaki itu adalah seorang guru, tidak mustahil dia akan menghamburkan segala yang terbuku di hati.
“Cikgu ni sejak tadi lagi terpacak kat sini abah. Tak tahulah apa yang ditunggunya sampai sanggup duduk berjam-jam!”
“Eh, betul ke ni Cikgu?”tanya Encik Harun dalam keadaan terkejut demi mendengarkan kata-kata anaknya. Hazriq pula hanya tersenyum. Mengiakan tidak, menafikan pun tidak.
“Maaflah kami dah menyusahkan Cikgu. Terima kasih banyak-banyak sebab sudi temankan Faz.”ucap Puan Fauziah.Dia senang anaknya punya guru yang sebegini prihatin.
Fazlia memandang  Cikgu Hazriq dengan perasaan yang bercampur baur. Jika diikutkan hati mahu saja dia menghalau, namun apabila terpandangkan seraut wajah yang tidak asing pada wajah Cikgu Hazriq, hatinya tidak semena-mena menjadi lembut. Ah! Susah hidup bila hati tidak mahu mengalah. Fazlia mula benci dengan perasaan miliknya. Mengapa dia mudah lembut pada Cikgu Hazriq sedangkan cikgu itu tidak punya keistimewaan melampau melainkan wajah yang kacak dan menenangkan. Itulah persoalannya. Keistimewaan itu menutup sedikit-sebanyak permainan dia dan Faizol. Sedangkan sikapnya itu umpama tiada bezanya dengan Muhd Faizol Bin Aminuddin! Penuh dengan tipu muslihat dan sandiwara.

“Setakat temankan Fazlia, tak ada yang susahnya kak, dia bukan budak kecil pun. Lagipun ini memang tanggungjawab saya. Selagi saya ada, insyaallah…saya akan jaga dia.”tutur Hazriq ikhlas.
Di satu sudut lain, Puan Fauziah terasa tidak asing dengan ayat terakhir yang dilafaz oleh Cikgu Hazriq.Ya! Memang sah. Dia tidak pernah lupa akan kata-kata Arwah Hairi tidak lama dulu. Anak muda yang ada dihadapannya sekarang saling tak tumpah seperti arwah. Wajahnya, tutur katanya, dan budi bahasanya memang tiada beza yang terlalu. Cuma panahan mata anak muda itu lebih syahdu, dia ada kelembutan yang tersendiri.
“Macam mana Cikgu tahu Faz ada di sini?”Hazriq gugup, pertanyaan yang dilempar itu ternyata bukan dalam jangkaannya. Dia cuba mencari idea terbaik untuk manjelaskan keberadaan dia disitu.
“Umi, Cikgu datang ke asrama petang tadi sebab nak bagi buku kerja Along yang dia semak. Dia tertinggal buku Along kat rumah, macam mana Along nak buat homework. Betul tak Cikgu?”Fazlia memberikan isyarat dari jelingan matanya, mahu lelaki itu menyokong jawapannya.
“Ya Kak. Petang tadi saya ke asrama tapi warden cakap Fazlia dimasukkan ke hospital. So, saya terus aje ke sini.”Sokong Hazriq membenarkan kata-kata Fazlia yang sudah sahih tidak benar. Maknanya mereka berdua telah berbohong!
“Fazlia dari tadi asyik tanya nurse bila family dia akan sampai. Sedih aje dari tadi. Agaknya Fazlia ni manja ya Kak?”
“Mmm..Faz memang macam ni, manja sikit. Tapi kadang-kadang baran pun ada.”ujar Puan Fauziah mengusik anaknya, matanya tidak berhenti melirik pada Fazlia. Gadis itu mengerling tidak puas hati dengan omongan uminya. Sepanjang malam itu Fazlia menjadi pemerhati Abah dan Uminya berbual-bual dengan Cikgu Hazriq. Sehinggalah satu masa lelaki itu akhirnya meminta diri untuk pulang. Ah…leganya dia apabila Cikgu Hazriq tiada. Lapang sedikit matanya untuk diarah, jika tidak pasti terasa terkongkong anak matanya kerana cikgu itu asyik memandang tepat kearahnya. Tidak pasti sama ada pandangan itu sekadar perasaannya atau tidak,yang penting dia tetap merasakan demikian.

Kepulangan Hazriq ke rumah Pak Ngahnya tidak lama. Dia hanya mandi dan menukar pakaian, setelah itu dia izin dari Haji Zainal dan isteri untuk keluar. Persoalan bapa dan ibu saudaranya ditepis baik dengan sedikit helah. Tengah malam itu dia kembali ke hospital. Namun untuk masuk dan menemani Fazlia bukannya mudah kerana waktu sebegini bukan masa untuk melawat. Dia terpaksa menggunakan cara kotor untuk berada di sisi Fazlia. Bukan merasuah, bukan menipu tetapi menjelaskan sesuatu yang tentang dirinya yang tidak pernah dibocorkan pada sesiapa. Perlahan-lahan dia membuka pintu wad. Fazlia terbaring kaku di katil. Wayar jernih masih lagi tersambung ke tangannya.
Hazriq akui dia sedaya-upaya mencuba menyelami hati gadis itu, namun Fazlia tidak pernah mahu memberikan kerjasama yang selayaknya. Sedikitpun pandangan Hazriq tidak teralih dari wajah gadis itu. Akhirnya, setelah tiga jam bersengkang mata, Hazriq terlelap. Yang nyata, Fazlia sentiasa ada walau mata terpejam rapat. Hazriq terjaga. Terasa seakan-akan ada sesuatu menyentuh tangannya. Dalam samar mata, dia melihat Fazlia memandang dirinya yang dalam keadaan begitu.
“Fazlia dah bangun?” Gadis itu mengangguk perlahan.
Sorrylah, saya tertidur. Fazlia nak apa-apa?”Hazriq bertanya, mungkin  gadis itu perlukan sesuatu. Dia menggeleng. Hazriq meminta Fazlia untuk kembali tidur.
“Nak kemana ni?”Soal Hazriq. Pertanyaannya tidak dihiraukan. Fazlia dilihatnya cuba untuk bangun.
“Nak ke tandas ke?” Fazlia masih lagi tidak menjawab.Hazriq bangun mendapatkan gadis itu.
“Kalau ya pun awak bencikan saya, janganlah seksa diri awak. Biar saya tolong awak.”Hazriq memegang dan memapah gadis itu. Walaupun awalnya dia menolak, tetapi dia tidak terlalu berkeras. Hazriq memapah Fazlia ke tandas. Tiub air dipegangnya.
“Maafkan saya Fazlia, sebab saya awak jadi macam ni.”Tiada apa-apa reaksi. Hazriq membawa gadis itu ke katil semula. Badan Fazlia lemah yang teramat.Dia tidak punya kekuatan untuk berdiri dengan sendiri.
“Cikgu balik la. Tak perlu jaga saya, saya boleh buat semuanya sendiri. Lagipun dah pagi ni.”Lama barulah Fazlia bersuara.
Hazriq lapang. Satu petanda baik Fazlia sudi membuka mulut. Butir bicaranya yang lembut membahagiakan Hazriq. Alangkah baiknya jika Fazlia sentiasa bersikap begini. Hazriq melihat sekilas jam di tangan. sudah 6.34 pagi. Dia meninggalkan Fazlia dengan sejuta rasa. Entah bagaimana mahu diucap perasaannya. Dia membawa motosikalnya agak laju. Tidak sampai 20 minit, dia sampai di rumah Haji Zainal. Dengan tergopoh-gapah, dia menggosok pakaiannya untuk ke sekolah. Tidak menjadi satu kesalahan besar jika dia terlambat, namun dia tidak mahu  begitu kerana disiplin menjadi pegangan hidupnya. Tambahan lagi, di sekolah itu dia berada di bawah pengawasan Guru Cemerlang. Sememangnya dia tidak mahu dipandang tidak berdisiplin pleh warga sekolah itu. Hari-hari yang dilalui Hazriq sebagai seorang guru praktikal agak mencabar minda apabial dia ditugaskan menjadi guru ganti selama dua bulan mendatang. Bukan dia tidak sanggup, tapi sekadar gementar memikirkan tugas-tugas yang diamanahkan.

**************************************************************************
Pagi yang agak panas membuatkan peluh memercik di dahi Hazriq. Hatinya benar-benar berdebar-debar menanti penerimaan Fazlia  tentang kedatangannya. Jika boleh dia mahu menjadi orang pertama yang ditemui Fazlia  sebaik dia tahu bahawa dia dibenarkan keluar dari wad. Entah mengapa Hazriq sentiasa mahu mempersembahkan yang terbaik pada Fazlia. Mungkin benar kata Shahrul dia terlampau obses dengan Fazlia. Tapi dia tidak peduli,yang penting dia mahu Fazlia kembali normal seperti insan lain.
Sejak mendapat SMS daripada doktor yang merawat Fazlia di hospital semalam yang mengatakan bahawa gadis itu dibenarkan keluar wad tengahari ini, dia begitu gembira. Semangatnya berkobar-kobar untuk melihat Fazlia kembali ke sekolah. Dia berazam mahu mengubah pandangan Fazlia terhadap Faizol. Dia mahu Fazlia sedar akan segala-galanya. Dia mahu Fazlia sembuh dari penyakitnya. Langkah Hazriq dipercepat. Terasa begitu lama dia menghayun langkah, akhirnya sampai juga di wad gadis itu. Dilihatnya, Fazlia sedang asyik membaca akhbar. Salam Hazriq langsung tidak mengejutkan Fazlia walaupun dia sedang asyik membaca.
“Fazlia okey hari ni?” Lembut nada Hazriq. Namun tidak diendah oleh Fazlia. Tanpa dipelawa, Hazriq melabuhkan punggungnya di atas katil. Dia mengambil surat khabar dari tangan Fazlia, mahu Fazlia menumpukan perhatian terhadap apa yang bakal diluahkannya.
“Kenapa Cikgu ni? Tak Nampak ke saya tengah baca?” Fazlia bengang.Ikutkan hati mahu saja dia mengamuk.
“Saya cuma mahu awak dengar apa yang saya nak cakap ni. Bukan..”
“Okey!! Saya dengar. Cepat cakap apa dia dan lepas tu Cikgu boleh pergi. Saya tak nak tengok muka Cikgu lagi.” pintas Fazlia kasar. Kata-katanya menguris hati Hazriq. Pedih memang pedih..sakit memang sakit. Namun dia tetap tidak mahu berputus asa dan mengalah begitu sahaja. Dia akan guna segala cara untuk membuktikan pada gadis di hadapannya bahawa dia bukan seperti yang disangka. Hatinya tulus dan ikhlas mahu menjadikan Fazlia insan terpenting dalam hidupnya. Lambat atau cepat, Insyaallah impiannya akan tercapai. Apa yang pasti dia akan berusaha sehabis cara.
“Saya tahu susah nak buat awak percayakan saya. Tapi saya ikhlas dengan kata-kata saya Fazlia.. Saya sukakan awak. Percayalah.”Mata Fazlia memandang tajam, tepat ke wajah cikgunya yang nampak seakan bersungguh-sungguh menyatakan isi hati.
“Kan ss…”
“Apapun anggapan awak, saya bukan bodoh Fazlia. Kalau Faizol nak bayar saya satu juta sekalipun, saya tak ingin. Saya ke sini nak capai cita-cita saya dan nak jumpa awak. Saya tak ada niat lain Fazlia.” Hazriq berhenti di situ.
“Saya pun tak bodoh Cikgu!” Giliran Fazlia pula bercakap. Bukan dia tidak mahu percaya, tapi terlalu payah untuk dia buktikan di mana kebenaran di sebalik kata-kata Cikgu Hazriq.
“Saya..saya sayangkan awak.” Kata-kata Hazriq bagaikan satu jenaka bagi Fazlia. Ketawanya meledak.
“Amboi.. Kuatnya anak umi ketawa, sampai kat luar pun boleh dengar.”  Hazriq kaget. Dia yang duduk bingkas bangun lantas menghadihkan sebuah senyuman buat kedua orang tua Fazlia.
“Tak pernah-pernah abah dengar Along ketawa, ada apa-apa ke ni?”
“Mestilah ada..kalau tak Along takkan ketawa. Doktor cakap Along dah boleh balik. So, jom!”Fazlia masih berpura-pura. Dia cuba berlagak tenang walau dadanya berombak kencang demi mendengarkan bicara Cikgu Hazriq sebentar tadi. Kehadiran lelaki itu membuatkan jiwanya tidak aman, jantungnya asyik berdebar setiap waktu.
“Eh..kalau ya pun sabar la dulu. abah nak jumpa doktor kejap.”
“Kenapa bang? Ada masalah ke?”Hazriq cemas.
“Bukan macam tu Cikgu, cuma nak tahu keadaan Faz selepas ni aje.”
“Kalau macam tu, saya ikut sekali bang, boleh?” Encik Harun menyatakan kesudiannya. Walaupun aneh dengan sikap anak muda itu tetapi dia diamkan sahaja. Lantas dia mengajak Hazriq ke bilik Doktor Zakaria yang juga salah seorang daripada kenalannya. Puan Fauziah membantu anak perempuannya turun dari katil. Fazlia diarahnya duduk di kerusi. Dia memasukkan  beberapa pakaian Fazlia ke dalam beg kecil yang dibawa.
**************************************************************************
“Umi, Along pergi sekolah esok eh? Boring lah duduk kat rumah.” Fazlia mencadangkan sesuatu yang tidak disenangi umi dan abahnya. Pasangan suami isteri itu berpandangan sesama sendiri. Untuk mengatakan‘ya’ mereka risaukan keadaan Fazlia yang masih belum sihat sepenuhnya.
“Along baru aje keluar wad, takkan dah nak pergi sekolah? Kan doktor bagi cuti. Duduk kat rumah boleh rehat.” Mendengar apa yang dicakapkan oleh abahnya Fazlia tunduk membisu. Nazri dan Irfan juga tidak menyampuk.
“Tak apalah, Along masuk tidur dulu.”
“Along..” Puan Fauziah dan suami memanggil serentak. Fazlia berpaling lemah.
“Abah benarkan Along pergi sekolah dengan syarat Along jangan pusing satu sekolah macam biasa. Make sure Along makan time rehat. Boleh?”
Encik Harun mengalah. Mungkin bagi yang tidak mengerti akan menganggapnya seorang bapa yang terlalu memanjakan anak. Tetapi dia sebenarnya tidak sanggup melihat Fazlia bermuram dan bersendirian jika dia bertegas dengan keputusannya.
“Abah tak marah?”
“Abah tak marah kalau Along ikut cakap Abah. Semua yang abah dan umi buat untuk kebaikkan Along. Tapi janji, ikut syarat abah!”

“Okey Along janji.”Fazlia tersenyum. Dia menyalami tangan kedua orang tuanya dan meminta diri untuk masuk ke bilik. 
    Fazlia sedar Abah dan Uminya sudah terlalu banyak bekorban masa, tenaga dan wang ringgit untuknya. Tapi apakan dayanya, dia tidak mampu untuk mendengar kata mereka. Jiwanya sentiasa kacau-bilau dan mahu memberontak. Dia tidak bisa menolak. Kenapa? Dia tiada jawapan untuk soalan itu. Hanya Tuhan yang mengerti.

Bersambunggg..
happy reading dearss :)

Tiada ulasan:

Komen membina dari anda digalakkan dan di dahulukan dengan ucapan terima kasih.

FATIHAH FAZLIN@templatesyard